1.0 FALSAFAH
PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Kemajuan
sesebuah Negara adalah bergantung kepada sistem pendidikan selain daripada
kestabilan politik, ekonomi, kebudayaan dan sistem nilai masyarakat. Ketiadaan
dasar pendidikan yang sempurna dan mantap dengan falsafah yang jelas, sistem
pendidikan adalah tidak sempurna sifatnya kerana mempunyai pelbagai bentuk dan
corak yang tidak berfokus. Dasar-dasar yang dibuat dalam sesuatu pendidikan
perlu merujuk kepada asasnya iaitu falsafah pendidikan. Falsafah menjadi teras
kepada sistem pendidikan kerana terkandung di dalamnya matlamat yang hendak
dicapai; kaedah pelaksanaan pendidikan yang akan digunakan; ciri-ciri yang
hendak dibentuk; dan liputan yang terangkum dalam sistem pendidikan.
Falsafah
ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas.
Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab فلسفة yang
juga berasal daripada perkataan yunani philosophia,
yang bermaksud "cinta kepada hikmah". Secara umumnya, falsafah
Merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas dan tujuannya adalah untuk
mendapatkan kebenaran. Falsafah dapat dikategorikan 5 bidang berdasarkan
persoalannya, iaitu metafizik iaitu bidang falsafah ini memikirkan tentang
kewujudan. Seterusnya epistemologi. Bidang falsafah ini memikirkan tentang ilmu
pengetahuan. Etika pula bermaksud memikirkan tentang kemoralan manusia. Logik
adalah satu bidang falsafah yang mengkaji penaakulan manusia. Bidang yang
terakhir ialah estetika.
Falsafah
pendidikan lahir setelah melalui proses yang bersinambungan yang selari dengn
proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia. Bermula sejak tenah air menuntut
kemerdekaan daripada penjajah. Selepas merdeka, satu jawatankuasa dibentuk,
iaitu Jawatankuasa Rahman Talib bertujuan untuk mengkaji Penyata Razak dan
Ordinan Pelajaran 1957 yang digunapakai dalam sistem pendidikan selepas
merdeka. Jawatankuasa ini mengeluarkan laporan iaitu Penyata Rahman Talib 1960.
kementerian pelajaran pada masa itu banyak berpandu kepada Penyata Razak 1956
dan Penyata Rahman Talib 1960, dalam usaha memberi pelajaran kepada rakayat di
tanah air. Soal perpaduan kaum adalah menjadi agenda uatam dalam melaksanakan
aktiviti pendidikan pada masa itu.
Falsafah
Pendidikan Negara (FPN) dengan mantap masih dikekalkan dalam Akta pendidikan
1996. Namun tambahan perkataan telah dilakukan bagi memantapkan lagi falsafah
ini. FPN seterunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Berdasarkan kepada FPK, matlamat pendidikan negara dapat ditafsirkan sebagai usaha
yang komprehensif dan berterusan untuk melahirkan individu yang bersahsiah
baik, berketerampilan seterusnya seimbang dan bersepadu dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani tanpa mengetepikan kepercayaan dan kepatuhan kepada
perintah tuhan. Matlamat pendidikan Negara dapat dihuraikan sebagai menyedia
dan memberi peluang pendidikan kepada semua rakyat di negara ini tanpa mengira
kaum dan asal keturunan. Seterusnya memberi peluang kepada rakyat menuntut ilmu
sepanjang hayat selaras dengan konsep pendidikan seumur hidup dan membolehkan
mereka melakukan kerja dengan menggunakan kemahiran yang dipelajari. Konsep
pendidikan berdasarkan FPK, adalah suatu usaha yang berterusan dan berlangsung
hayat (life long education). Rasionalnya ialah kerana manusia mengalami
pertumbuhan dan perkembangan. Proses pertumbuhan dan perkembangan akan
menyebabkan perubahan berlaku pada individu. Usaha adaptasi kepada perubahan
perlu kepada latihan kemahiran mehupun pendidikan.
Falsafah Pendidikan
Kebangsaan:
‘Pendidikan di Malaysia
adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat, dan negara.’
2.0 ELEMEN-ELEMEN DAN
UNSUR-UNSUR PENTING DALAM FALSAFAH
PENDIDIDKAN KEBANGSAAN.
Antara
elemen-elemen dan unsur-unsur penting yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
kebangsaan ialah pendidikan suatu usaha berterusan. Pendidikan adalah suatu
proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni. Proses
pemerolehan dan pemindahan berlangsung secara berterusan bermula dari kecil
sehingga ke akhir hayat. Pendidikan awal kanak-kanak amat penting untuk
membentuk asas sahsiah kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara
satu hingga enam tahun. Sahsiah yang dibentuk akan terus berkembang sepanjang
tempoh persekolahan. Setelah tamat persekolahan, setiap individu masih terus
meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka. Proses pendidikan yang
berterusan bagi membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan.
Elemen yang kedua ialah perkembangan potensi individu. Setiap individu telah
diberkati Tuhan dengan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam.
Bakat, potensi dan kebolehan seelok-eloknya dicungkil, dipupuk, dikembangkan
dan dipertingkatkan. Bakat, potensi dan kebolehan akan menjelma melalui
interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling. Pendidikan seharusnya memberi
peluang individu untuk berkembang bakat, potensi dan kebolehan mereka. Elemen
yang ketiga ialah perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu. Bakat,
potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan; sebaliknya
secara berasingan; sebaliknya dihubung kait atau diselaraskan bagi mengelakkan
pertentangan antara satu sama lain. Perkembangan dan peningkatan seelok-eloknya
merangkumi empat aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Seterusnya
elemen yang keempat ialah insan yang seimbang dan harmonis. Amat penting bagi
individu memiliki ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi), percaya kepada
Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik (rohani) dan kesihatan diri yang baik
(jasmani). Keimbangan antara keempat-empat aspek di atas akan menghasilkan
individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri dan orang lain. Individu
sedemikian memiliki ketahanan untuk menghadapi segala cabaran hidup serta
sanggup berhadapan dengan apa jua masalah yang timbul. Elemen kelima ialah
unsur intelek. Unsur intelek mempunyai kemahiran asas 3M. Membaca, menulis dan
mengira. Ianya berkemahiran untuk berfikir secara kreatif, kritikal dan
reflektif. Implikasinya, pelajar sanggup berkongsi ilmu dengan orang lain dan
persekitaran. Unsur rohani ialah elemen keenam. Implikasinya, individu akan
menyedari dan percaya pada Tuhan selain bersyukur dengan pemberian Tuhan.
Individu juga akan berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni.
Unsur emosi pula menyebabkan individu mempunyai emosi yang matang dan stabil.
Individu itu juga akan memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang.
Elemen
kelapan ialah unsur jasmani. Individu akan menyedari tentang kepentingan
kesihatan fizikal, mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal di samping
menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan ialah elemen kesembilan. Elemen ini
membantu individu untuk mengakui tentang kewujudan Tuhan dan menyedari bahawa
hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh tuhan.
Mengamalkan segala ajaran agama yang dianuti. Elemen seterusnya ialah rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan. Cintai ilmu pengetahuan dan berusaha memupuk
budaya ilmu dan budaya membaca. Mempunyai fikiran yang luas dan terbuka.
Rakyat
Malaysia yang berketerampilan ialah elemen yang kesebelas. Ianya mempunyai
kecekapan dan kompetensi diri dan berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan
sempurna. Individu juga akan berpandangan jauh dan berinisiatif. Seterusnya
ialah rakyat Malaysia yang bertanggungjawab iaitu boleh dipercayai dan
menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus
dilaksanakan dengan baik. Menjalankan tugas dengan amanah, bersih dan cekap.
Mematuhi peraturan dan undang-undang negara. Berusaha untuk meningkatkan diri,
keluarga, masyarakat agama, bangsa dan negara. Elemen yang ketiga belas ialah
rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Berfikiran waras
dan berjiwa tenang. Mempunyai daya ketahanan yang kuat untuk menghadapi cabaran
hidup. Elemen keempat belas pula ialah rakyat Malaysia yang dapat memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Individu
akan berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi,
bertimbang rasa, kekitaan, hormat menghormati dan sebagainya. Berusaha untuk
memajukan ekonomi negara berdasarkan dasar-dasar yang ditetapkan. Sering
mengekalkan kestabilan politik dan keamanan negara, mematuhi perlembagaan dan
peraturan negara. Mempertahankan maruah diri, profesion agama, bangsa dan
negara.
Elemen
yang kelima belas ialah berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Individu
mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi dan berkebolehan untuk
mengharungi liku-liku hidup. Elemen yang terakhir ialah sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Individu akan
menjadikan Rukun Negara sebagai amalan hidup dan memupuk persefahaman keluarga.
Mematuhi norma masyarakat dan cintakan negara.
3.0 IMPLIKASI
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN TERHADAP SISTEM
PENDIDIKAN NEGARA.
Elemen-elemen
dan unsur-unsur penting dalam FPK ini memberi implikasi terhadap sistem
pendidikan negara. Antara implikasi yang telah digariskan ialah FPK adalah satu
dokumen rasmi yang menggariskan hasrat Kerajaan terhadap sistem pendidikan
negara ini serta matlamat pendidikan dengan jelas. Oleh itu, kandungan FPK
hendaklah dihayati dan diusahakan oleh kaum pendidik bagi memastikan Kerajaan dan
matlamat pendidikan tercapai. Dalam pada itu, amat penting agar FPK dijadikan
satu garis panduan dan rujukan kaum pendidik semasa mereka melaksanakan
tugas-tugas pendidikan serta fungsi-fungsi pendidikan masing-masing. Para
pendidik juga hendaklah memainkan peranan aktif dalam merealisasikan FPK. Dalam
hal tersebut, mereka hendaklah bersifat terbuka terhadap perubahan yang pesat
dalam bidang sains dan teknologi terutamanya dalam bidang Teknologi Maklumat
dan Komunikasi. Sehubungan itu, mereka seharusnya bersedia untuk membina ilmu
dan kemahiran-kemahiran baru berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran,
kemudian berani dan sanggup melaksanakan inovasi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran bilik darjah bagi mata pelajaran yang diajar.
Selain
itu, para pendidik perlu menyedari hakikat bahawa tugas dan tanggungjawab
mereka bukan hanya terbatas dan tertumpu kepada penyampaian ilmu dan kemahiran
sahaja. Malahan pembentukan modal insan itu juga perlu diberi perhatian yang
serius. Adalah diharapkan agar generasi muda menjadi individu yang berkembang
secara menyeluruh dan seterusnya berupaya menyumbangkan ilmu, kemahiran, masa
dan tenaga mereka demi keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai rumusan, jelas
terbukti bahawa sekiranya setiap pendidik berpegang kepada FPK dalam
menjalankan tugas dan tanggungjawab profesional mereka, sudah pasti matlamat dasar
pendidikan negara akan menjadi satu kenyataan, dan bukan hanya satu impian
sahaja.
Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dapat membantu sekolah dalam proses mewujudkan sekolah
berkesan. Sekolah rendah adalah tempat pendidikan awal anak-anak secara formal.
Pada zaman moden ini, sekolah menyediakan pelbagai kemudahan dan kelengkapan
pendidikan yang baik dan sempurna berbanding dengan rumah tangga dan keluarga.
Di sekolah bermulanya pembinaan peribadi dan kecemerlangan seseorang pelajar.
Menerusi pendidikan di sekolah, terdapat perancangan dan pelaksanaan aktiviti
pendidikan yang tersusun rapi bagi mencipta kecemerlangan bagi setiap pelajar.
Sekolah adalah tempat untuk kecemerlangan dan bukan untuk kegagalan.
4.0 PERANAN SEKOLAH
DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN
KEBANGSAAN (FPK)
4.1
Kepimpinan
Keberkesanan
sekolah lazimnya diukur dan dinilai dari segi kejayaan atau pencapaian sekolah
dalam peperiksaan disamping mewujudkan rasa kepuasan bekerja dalam sesebuah
sekolah itu. Pengetua merupakan pengurus utama kepada sesebuah organisasi
persekolahan. Sekiranya pengurusan dapat dilaksanakan dengan efektif dan cekap
secara tidak langsung masalah di sekolah dapat diselesaikan dan ini membantu ke
arah pembentukan sekolah berkesan. Kepimpinan sesebuah sekolah dapat dikaitkan
dengan elemen penting dalan FPK iaitu rakyat Malaysia yang berketerampilan
harus mempunyai kecekapan dan kompetensi serta berkebolehan untuk menjalankan
tugas. Daripada kajian-kajian yang telah dilakukan mengenai sekolah berkesan
dapatlah dirumuskan bahawa apa yang membezakan keberkesanan sesebuah sekolah
dengan sebuah sekolah yang lain adalah kepimpinan pengetua. Pengetua ialah
pemimpin teknikal yang seharusnya meminimumkan peranan sebagai jurutera
pengurusan. Kepemimpinan seumpama ini ditumpukan kepada teknik pengurusan yang
cekap dan mahir dalam memanipulasi strategi dan keadaan demi untuk menjamin
keberkesanan yang maksimum. Kemahiran ini termasuklah aspek perancangan,
pengelolaan, penjadualan dan penyelarasan. Kejayaan kepimpinan sesebuah sekolah
bermula dari pucuk pimpinannya. Pengetua sebagai pemimpin manusia. Dalam hal
ini, pengetua memainkan peranan sebagai jurutera manusia. Maksudnya pengetua
seharusnya mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia, dan perhubungan
individu serta mampu menggerakkan stafnya. Ini selaras dengan matlamat FPK
iaitu untuk melahirkan individu yang bersahsiah baik dan berketermapilan.
Pengetua juga berperanan sebagai pemimpin simbolik. Dalam konteks ini pengetua
meminimumkan peranan sebagai penghulu yang memberi isyarat tentang nilai dan
kepentingan atau tujuan sesuatu perkara yang hendak dicapai. Kepemimpinan
seumpama ini termasuklah aktiviti seperti melawat bilik darjah dan kawasan
sekolah, di samping cuba mengenali pelajar dengan lebih dekat. Organisasi yang
baik di sesebuah sekolah dapat melancarkan perjalanan pentadbiran sekolah
tersebut untuk melahirkan individu yang seimbang. Kepemimpinan budaya amat
penting bagi mencapai kecemerlangan sekolah. Pengetua yang menjalankan peranan
ini dapat dilihat menerusi usaha-usahanya mencari, mentafsir dan memperkukuhkan
nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadikan sekolah itu sebagai
sebuah sekolah yang unik.
4.2
Budaya Sekolah
Budaya
sekolah di dapati merangkumi seluruh alam sekitar dan murid di sekolah. Alam
sekitar yang menggalakkan dapat melahirkan kesan baik terhadap proses
pengajaran dan pembelajaran serta penghayatan nilai-nilai. Oleh yang demikian,
usaha untuk pembentukan akhlak dan sahsiah murid dapat berjalan dengan licin
serta efektif. Nilai murni pula adalah unsur yang amat penting dan akan
diserapkan ke dalam setiap diri pelajar. Nilai-nilai murni bersifat sarwajagat
dan adalah selaras dengan agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia.
Nilai-nilai ini juga berteraskan kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan.
Matlamat pihak kerajaan bagi melahirkan Modal Insan iaitu melahirkan insan yang
bukan sahaja intelek dalam akademik malahan mempunyai sahsiah dan akhlak yang
baik. Sekolah yang berkesan perlu mempunyai budaya dan iklim pengurusan yang baik.
Setiap sekolah perlu membina iklim yang bersesuaian dengan matlamat dan
persekitaran sekolah tersebut.
Budaya
sekolah juga bermaksud personaliti atau keperibadian sekolah yang mempengaruhi
cara sesuatu kerja itu dijalankan. Definisinya tentang bidang kuasa, peranan,
tugas dan budaya diri membentuk satu rangka kerja yang dapat mempengaruhi atau
mengubah budaya sekolah tersebut. Kecemerlangan sekolah ini adalah hasil
transformasi yang telah dimulakan oleh pengurus sekolah yang terlebih dahulu
dan kecemerlangannya masih dikekalkan hingga kini walaupun corak kepimpinan
sekolah masih mengamalkan budaya kerja cemerlang, seiring dengan hasrat
mencemerlangkan pendidikan. Berdasarkan instrumen profil budaya sekolah,
guru-guru dan pelajar mempunyai hubungan interpersonal yang lebih positif. Guru
mempunyai semangat kekitaan terhadap sekolah dan bangga menjadi guru di sekolah
tersebut. Mereka sentiasa memandang ke hadapan dalam usaha mereka dalam
meningkatkan profesionalisme mereka. Pelajar-pelajar pula merasa seronok
menjadi pelajar di sekolah itu.
Di
sekolah juga pengajaran dan pembelajaran dianggap sangat penting oleh guru dan
juga pelajar. Walaupun mereka mengamalkan panduan kurikulum yang digariskan
oleh Kementerian Pendidikan, guru dibenarkan menggunakan kreativiti semasa
mengajar. Pelajar mengikuti aktiviti pengayaan mengikut keupayaan
masing-masing. Guru di sekolah berkesan adalah inovatif dalam pengajaran dan
amalan penilaian mereka. Pelajar dan guru di sekolah akan merasa sangat selesa
ketika berada di perkarangan sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada
dalam keadaan bersih dan teratur. Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang
mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran. Pelajar dan guru berbangga dengan
kemudahan fizikal yang mereka ada dan sentiasa menolong untuk mengekalkan
keadaan kemudahan tersebut dalam keadaan yang sehabis baik. Konsep mengenai
budaya sekolah telah ditakrifkan dengan pelbagai cara, tetapi pada
keseluruhannya adalah dipersetujui umum bahawa budaya sesebuah sekolah itu
merupakan perasaan atau gambaran suasana yang seolah-olah dapat dirasakan
ketika seseorang itu berada di sekolah tersebut. Antara konsep tersebut ialah
Guru merasa selesa, yakin dan puas. Guru tidak merasa tertekan atau bercelaru.
Pengetua mempamerkan keyakinan diri, bijaksana dan berlaku adil. Pengetua mudah
dibawa berbincang dan mempunyai fikiran yang terbuka. Pengetua merupakan
seorang pemimpin yang baik, mampu membimbing kakitangannya serta memperkembang
potensi mereka. Pelajar merasa bangga terhadap hasil kerja mereka dan terhadap
sekolah mereka. Keadaan ini dapat mengeratkan hubungan antara pendidik sejajar
dengan hasrat FPK.
4.3
Ko-kurikulum
Ko-kurikulum
juga penting dalam merealisasikan FPK. Antara kepentingannya ialah untuk
mewujudkan semangat kewarganegaraan dan semangat perpaduan. Apabila sesuatu
aktiviti diadakan, penglibatan pelajar dari pelbagai bangsa dapat mengeratkan
hubungan antara satu sama lain. Ko-kurikulum juga membantu untuk memaju dan
mengembangkan bakat minat serta kemahiran murid. Sekolah yang aktif dalam
bidang ko-kurikulum boleh membantu murid mengembangkan minat mereka dan
mengasah bakat. Falsafah pendidikan kebangsaan telah menggalakkan pelajar aktif
dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Minat dan bakat murid yang diasah dan
dibentuk boleh melahirkan individu yang berjaya serta membantu mengharumkan
nama sekolah. Ko-kurikulum juga berperanan melatih murid mengisi masa lapang
dengan aktiviti yang berfaedah. Contohnya sekolah menganjurkan permainan
kanak-kanak pada musim cuti sekolah. Aktiviti ini membolehkan pelajar mengisi
masa cuti mereka di samping mengekalkan kesihatan yang baik. Selain itu,
ko-kurikulum melatih murid dari segi ketahanan mental dan fizikal. Ini dapat
mencapai hasrat FPK untuk melahirkan individu yang sihat dan seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Peranan
sekolah dalam membentuk ko-kurikulum ialah memastikan penubuhan persatuan,
kelab sukan dan permainan dan pasukan-pasukan unit-unit pakaian seragam.
Sekolah juga perlu menentukan bahawa unit-unit ko-kurikulum itu berjalan dengan
cergas, baik, teratur dan sempurna dengan susunan program yang lengkap, sesuai
dan praktikal. Selain itu sekolah juga perlu menentukan perkembangan bakat dan
potensi para pelajar dalam kegiatan ko-kurikulum seperti persatuan dan kelab,
sukan dan permainan dan juga unit beruniform.
Bidang
ko-kurikulum perlu diberi kedudukan yang sewajarnya, di samping memerlukan
komitmen yang jitu daripada penyertaan pelajar dan guru iaitu dapat memberi
peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat dan minat masing-masing. Jadual
waktu kegiatan ko-kurikulum perlu lebih fleksibel agar tidak membebankan murid.
Kad ko-kurikulum adalah penting kerana dapat mengesan dan merekodkan pencapaian
pelajar sepanjang tahun penglibatannya. Data ini menjadi kriteria pemberian
anugerah, sijil dan gred pelajar. Penglibatan ibu bapa, guru dan murid boleh
membantu dalam membangunkan dan memajukan sekolah melalui aktiviti
ko-kurikulum.
Penyertaan
maksimum murid dan guru dalam aktiviti ko-kurikulum sememangnya boleh dicapai
dengan usaha yang bersungguh-sungguh oleh setiap warga sekolah. Cara dan
tindakan yang sesuai perlu diambil agar murid atau guru boleh memberi sumbangan
bermakna kepada sekolah. Sememangnya sokongan dan kerjasama semua pihak adalah
penting dalam usaha menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis selaras
dengan Falsafah Pendidikan Negara.
4.4
Guru
Golongan
guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam perlaksanaan
kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh
seseorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting terutama dari segi
pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Guru berperanan sebagai tenaga
pengajar dengan merancang aktiviti pelajar berdasarkan sukatan pelajaran dan
melaksanakannya dalam bilik darjah mengikut strategi pengajaran yang sesuai.
Guru juga sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan dan
kebajikan pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri dalam
sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka. Selain itu, guru perlu menjadi
contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada
pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat
diterapkan dalam jiwa pelajar. Seperti dalam elemen FPK yang menyatakan rakyat
Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara. Elemen ini dapat dikaitkan dengan peranan guru yang
berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang
rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan sebagainya. Dalam elemen ini juga guru
perlu mempertahankan maruah diri dan profesion, agama, bangsa dan negara. Guru
juga sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka
berusaha belajar secara individu atau berkumpulan dan Sebagai pendisiplin yang
bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk
sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat. Guru ialah
pendidik yang berilmu pengetahuan. Di samping itu dia dilatih untuk menguasai
kemahiran mengajar, dan diberi tugas menyampaikan ilmu kepada pelajarnya. Oleh
itu guru sebagai pengamal ilmu perlu memainkan peranan untuk menyampaikan ilmu
yang berguna dalam bidangnya. Dalam proses mengajar dan belajar, guru dituntut
memiliki pelbagai pengetahuan dan pemahaman yang bermanfaat untuk menimbulkan
dan meningkatkan motivasi pelajarnya semasa belajar, sehingga proses belajar
yang dibimbingnya berjaya secara optimal. Oleh kerana itu, guru perlu memahami
dan menghayati serta menerapkan pelbagai prinsip dan teknik-teknik untuk
membangkitkan dan meningkatkan motivasi pelajar dalam pembelajaran. Memang
banyak sekali prinsip dan teknik yang berbeza-beza yang perlu diketahui oleh
guru, kerana di dalam usaha memotivasikan pelajar sesungguhnya tidak hanya satu
prinsip dan teknik yang paling mujarab dipakai untuk semua pelajar, sepanjang
masa, dan untuk semua situasi. Berbeza mata pelajaran, berbeza keperibadian
pelajar, dan berbeza keperibadian guru menuntut perbezaan prinsip dan teknik
yang dipakai dalam memotivasikan pelajar. Oleh kerana itu, perbezaan mata
pelajaran, keperibadian pelajar dan keperibadian guru harus dipertimbangkan
dalam memilih prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang akan dipakai dalam memotivasikan
pelajar. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus
menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi
yang akan menjadi dewasa kelak. Perubahan perancangan hari ini adalah perlu
diiringi dengan perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik
darjah. Untuk menghadapi cabaran dan tuntutan daripada perubahan strategi
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, guru hari ini hendaklah
sentiasa berusaha melengkapkan diri dari masa ke semasa.
Sekolah
sebagai satu institusi masyarakat perlu mementingkan perkembangan dan perubahan
tingkah laku pelajar dan kehendak masyarakat. Justeru itu, persekolahan yang
berorganisasi itu perlu memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan
kebudayaan yang dianggap baik, misalnya perkara-perkara yang berkaitan dengan
moral. Oleh itu guru di sekolah perlu memainkan peranan sebagai agen memodenkan
masyarakat dalam semua bidang perkembangan semasa dan kemajuan. Ini bermakna
pendidikan di sekolah perlu mementingkan nilai kemasyarakatan dan perkembangan
sifat perseorangan pelajar serta membawa perubahan semasa.
4.5
Disiplin
Sejak
kewujudan institusi persekolahan di negara ini, tiap-tiap buah sekolah sama ada
sekolah menengah ataupun sekolah rendah perlu melantik seorang guru yang
bertindak sebagai guru disiplin. Pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah
adalah penting untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa dan harmonis.
Sekolah yang berkesan mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlu
membina peraturan ketat, tenang tanpa penindasan yang secara amnya adalah
selesa untuk suasana proses pembelajaran. Untuk membentuk sekolah berkesan,
pelajar-pelajar di sekolah berkenaan perlulah diterapkan dengan nilai-nilai
murni. Nilai murni akan membentuk membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang
cemerlang dan seterusnya masalah disiplin di sekolah dapat diatasi. Ini kerana
ada juga sesetengah pihak yang mengukur disiplin pelajar sebagai ukuran output
sesuatu sekolah itu. Tugas guru disiplin ini adalah untuk memastikan tiap-tiap
pelajar di sekolah tersebut mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Pelajar-pelajar yang didapati melakukan kesalahan seperti salah laku pelajar
iaitu datang lewat, tidak hadir ke sekolah, rambut panjang dan sebagainya
sehinggalah kepada kesalahan yang berat seperti merokok dan menghisap dadah di
bawah pemerhatian guru disiplin. Guru disiplin amat dihormati dan ditakuti oleh
kebanyakan pelajar. Sekolah lebih memberi tumpuan untuk meningkatkan pencapaian
akademik pelajar. Hubungan yang rapat antara pihak sekolah dengan ibu bapa,
guru dengan pelajar adalah penting. Guru perlu mendekati pelajar secara
peribadi dan memahami masalah yang dihadapi oleh seseorang pelajar tersebut.
Dengan cara ini pelajar merasakan mereka dihargai dan pihak sekolah sentiasa
mengambil berat terhadap kepentingan mereka. Oleh yang demikian pelajar yang
bermasalah tidak segan untuk berbincang dengan guru mereka berkenaan masalah
yang dihadapi. Keadaan ini mengelakkan pelajar dari melepaskan masalah mereka
dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam
seperti salah laku jenayah dan gengsterisme. Di sekolah pula penguatkuasaan
disiplin perlulah tegas dan berterusan. Usaha yang berterusan perlu dilakukan
termasuk mengukuh, memperjelas dan menentukan kebolehgunaan surat-surat
peraturan dan pekeliling yang berkaitan sejajar dengan perubahan-perubahan persekitaran
dan masa. Sistem pengurusan disiplin di sekolah juga perlu berkesan meliputi
rekod individu pelajar, rekod pelanggaran disiplin serta hukuman dan ganjaran.
Pengawalan disiplin perlu dilakukan secara bersepadu atau melalui kaedah
permuafakatan dengan melibatkan semua kumpulan atau pihak iaitu sekolah, ibu
bapa, masyarakat, kerajaan dan penguat kuasa undang-undang. Kerjasama perlu
dibentuk melalui satu rangkaian yang jelas dan melibatkan pelbagai aktiviti
seperti penyampaian dan penyaluran maklumat tentang disiplin yang melibatkan
pelajar sekolah harian kepada pihak pengurusan sekolah dan pihak penguat kuasa
undang-undang. Kerjasama dalam bentuk perancangan dan penyediaan pelan tindakan
secara bersama berdasarkan kefahaman yang jelas untuk mencegah dan membasmi
aktiviti geng dan samseng di kalangan pelajar. Aktiviti pengawalan dan tindakan
bersama juga perlu bagi menghapus aktiviti-aktiviti gengster dan samseng di
dalam sekolah khususnya tindakan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang
dan disiplin. Elemen yang terkandung dalam FPK perlu didedahkan seperti unsur
rohani yang membentuk pelajar supaya berakhlak mulia dan bersyukur dengan pemberian
Tuhan. Pihak sekolah juga perlu melemahkan dan menghapuskan faktor-faktor
penarik dan penolak yang mempengaruhi pelajar untuk terlibat dalam masalah
disiplin dengan menjadikan sekolah sebagai faktor yang kuat untuk menarik semua
kumpulan pelajar agar sayangkan sekolah dengan menyediakan sekolah dan
persekitarannya sebagai tempat yang kondusif dan seronok untuk belajar. Langkah
seterusnya ialah mengawal jaringan aktiviti tidak berfaedah yang melibatkan
pelajar dengan menyediakan pelan tindakan dan melaksanakannya secara bersama
melalui tindakan berkesan. Antaranya pihak sekolah harus menentukan bahawa
pelajar-pelajar tidak melepak sama ada dalam waktu persekolahan atau di luar
waktu persekolahan kerana ini akan mendedah pelajar kepada pelbagai pengaruh
yang tidak sihat. Selain itu pihak pengurusan sekolah perlu menyediakan satu
sistem kawalan mencegah ahli-ahli kumpulan gengster dan samseng daripada
menjadikan pelajar-pelajar sebagai mangsa dalam masa tiga waktu utama iaitu
sebelum persekolahan, semasa rehat dan waktu selepas tamat sesi persekolahan
harian.
5.0 RUMUSAN
Dunia
yang semakin kompetitif sesungguhnya memerlukan keberkesanan di peringkat
sekolah disebabkan Malaysia akan bertaraf antarabangsa dan memerlukan
kepemimpinan yang berwibawa, teknologi bertambah canggih serta ragam manusia
yang berbagai-bagai. Sememangnya Kementerian Pendidikan bertekad untuk
melahirkan manusia insan kamil yang seimbang pembangunan rohani, emosi, jasmani
dan intelek sebagaimana yang dituntut oleh Falsafah Pendidikan Negara. Manusia
beginilah yang nanti nya berupaya mendukung Wawasan 2020. Untuk mencapai tahap
yang dikatakan sekolah cemerlang dan berkesan dalam merealisasikan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan bukanlah mudah. Mencapai tahap yang betul-betul sempurna
dan ideal adalah sesuatu yang sukar kerana dalam proses mencapai sesuatu
objektif, terdapat beberapa masalah atau kekangan yang perlu dihadapi. Salah
satu faktor yang menghalang pengurusan yang cekap bagi membentuk sekolah
berjaya ialah proses birokrasi. Tidak dapat dinafikan bahawa kawalan dari
bahagian-bahagian seperti Kementerian Pendidikan dan juga Jabatan Pendidikan
Daerah adalah diperlukan untuk meningkatkan keupayaan sekolah. Pelbagai aspek
perlu diberi perhatian. Contohnya seperti kepimpinan sesebuah sekolah, budaya
sekolah, ko-kurikulum yang mantap, peranan guru dan seterusnya pengawalan
disiplin yang baik. Selain itu, Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam
membimbing dan mengasuh anak-anak mereka di rumah sebelum mereka dihantar ke
sekolah atau keluar dari rumah agar mereka mempunyai ketahanan iman dan mental
dalam menghadapi cabaran dan rintangan arus perdana globalisasi. Akhirnya dalam
usaha membina keberkesanan sekolah, reformasi atau program pembaikan sekolah
haruslah merupakan tindakan pembangunan dalaman sekolah. Sememangnya dalam
pelaksanaan reformasi di sekolah, penglibatan setiap masyarakat sekolah amat
penting, sungguhpun tugas utama sekolah dan guru berkaitan dengan pengajaran
dan pelaksanaan kurikulum, namun usaha meningkatkan kemajuan sekolah perlu
dihayati dan ditangani bersama demi membentuk sekolah yang berkesan dan
merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Post a Comment