FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
DAN KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH MENENGAH
I Pendahuluan
Perlaksanaan sistem pendidikan di Malaysia
adalah berdasarkan kepada cadangan-cadangan yang terkandung dalam Panyata Razak
1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, seperti yang termaktub dalam Akta Pelajaran
1961. Dari masa ke semasa peranan dan matlamat pendidikan
tersebut disesuaikan mengikut keperluan rancangan-rancangan pembangunan lima
tahun negara.
Bagi mencapai matlamat perpaduan negara dan penghasilan tenaga rakyat untuk
keperluan pembangunan negara, perlaksanaan sistem pendidikan ini telah
ditumpukan kepada keutamaan-keutamaan tertentu mengikut keadaan semasa. Dalam
hubungan ini berbagai-bagai kemajuan telah dicapai selaras dengan keperluan dan
perkembangan negara yang sedang membangun.
Mulai tahun-tahun lapan puluhan, sistem pendidikan di Malaysia perlu
melihat peranannya dalam konteks yang lebih luas dari segi pembentukan suatu
bangsa Malaysia yang lebih maju dan berjaya dalam ertikata yang sebenarnya.
Sebagai asas ke arah mencapai matlamat tersebut adalah diperlukan suatu
falsafah yang mencerminkan hasrat dan cita-cita pendidikan di Malaysia bagi
pembentukan insan yang sempurna serta memenuhi keperluan kecemerlangan
pendidikan.
II Latar Belakang
Sistem pendidikan yang wujud dan
diamalkan kini adalah lanjutan daripada sistem pendidikan British. Setelah
merdeka sistem ini diperluaskan, berdasarkan Penyata Razak (1956) dan laporan
Rahman Talib (1960) yang menjadi asas kepada pembentukan sistem dan Dasar Pelajaran
Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961. Ketiga-tiga
dokumen ini menegas serat salah sebuah negara yang paling berjaya dalam
memberikan pendidiakn kepada semua selaras dengan prinsip pendemokrasian
pendidikan. Kini kita dapat melihat, merasa dan menikmati sumbangan besar
pendidikan ke arah pembangunan dan kemajuan negara.
Di samping itu usaha-usaha juga
mesti dilaksanakan untuk memajukan lagi aspek-aspek pembangunan bangsa dan
negara meliputi kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Kemajuan dalam
aspek-aspek ini bertujuan untuk mempercepatkan serta memperkukuhkan cita-cita
mewujudkan perpaduan rakyat.
Dalam laporan Jawatankuasa Kabinet
Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran (1979), matlamat perpaduan ditegaskan
semula. Di samping itu Laporan ini juga meluaskan lagi matlamat pendidikan
negara meliputi:
“...........................................
matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin dan
terlatih”.
(Laporan Jawatankuasa Kabinet hal 1.)
Ringkasnya, matlamat pendidikan
ialah untuk melahirkan warganegara yang baik yang memiliki ciri-ciri
bersatupadu, berdisiplin dan terlatih. Lebih lanjut lagi Laporan tersebut
menghuraikan ciri-ciri seseorang warganegara yang baik. Ciri-ciri tersebut
ialah;
(a) Keazaman, kesanggupan dan kesediaan kita hidup bersama dengan rukun dan
damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat
Malaysia;
(b) Menghormati dan mematuhi undang-undang serta peraturan, bersedia bekerja
atau membuat sesuatu hingga sempurna, menghormati hak-hak individu, mengamalkan
tingkahlaku yang baik dan tidak menjejaskan kepentingan orang lain, menghormati
dan mempunyai semangat memperbaiki keadaan secara membina dan bersedia
berkhidmat untuk negara.
(c) Boleh menyertai dengan berkesan dalam kegiatan pembangunan negara.
Untuk memenuhi serta mencapai hasrat pembentukan seorang warganegara yang
baik, Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) telah mengemukakan berbagai syor.
Usaha-usaha untuk menyemai semangat perpaduan diperkukuhkan melalui kurikulum
yang sama bagi semua. Bahasa kebangsaan dipertingkatan peranan sebagai bahasa
komunikasi dalam bahasa ilmu. Untuk menjayakan pembentukan supaya murid-murid
bukan Islam diajar Pendidikan Moral dan Etika. Pengajaran Pendidikan Islam pula
diperbaiki serta diperkukuhkan. Ubahsuaian-ubahsuaian juga dilakukan dalam
kurikulum untuk memenuhi hasrat menghasilkan warganegara yang dapat memberi
sumbangan kepada negara.
Berikutan daripada syor-syor
yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet, Kementerian Pendidikan
telah mengkaji semula kurikulum peringkat rendah. Pada tahun 1982, Kurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR) mulai dilaksanakan secara terhad atau percubaan di
305 buah sekolah. Pada tahun 1983 semua sekolah rendah di negara ini telah melaksanakan
KBSR. Sebagai lanjutan dari KBSR, Kementerian Pendidikan pula akan
memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) bagi empat program
bahasa (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil) di
Tingkatan Peralihan dan Tingkatan 1 pada tahun 1988 di seluruh negara. Pada
tahun 1989, mata-mata pelajaran lain kecuali mata pelajaran Kemahiran Hidup,
akan juga dilaksanakan.
III Cabaran Pendidikan Masa
Kini dan Masa Akan Datang
Selaras dengan perkembangan
masyarakat dunia, masyarakat Malaysia juga mengalami proses perkembangannya
yang pesat dan mencabar. Oleh itu sistem pendidikan negara mahu atau tidak,
terpaksa menerima cabaran ini kerana seringkali proses perkembangan sesuatu
masyarakat dikaitkan secara langsung dengan sistem pendidikannya.
Sebenarnya Laporan Jawatankuasa
Kabinet telah pun meneliti dan mengkaji seluruh sistem pendidikan peringkat
rendah hingga ke peringkat maktab, meliputi juga kurikulum, disiplin,
pengurusan dan kemudahan serta perbekalan pelajaran. Berkaitan dengan disiplin,
jawatankuasa Kabinet sangat prihatin terhadap kemerosotan disiplin yang berlaku
di sekolah-sekolah. Kerajaan pula telah menyatakan kebimbangan terhadap
penyalahgunaan dadah yang meningkat dengan hebatnya di kalangan remaja dan
belia. Malahan dadah dianggap sebagai musuh utama bagi negara ini. Untuk
membanteras wabak ini, Kementerian Pendidikan diminta melaksanakan program
Pendidikan Pencegahan Dadah.
Kebimbangan serta keprihatinan
kerajaan dan rakyat mempunyai bukti-bukti yang kukuh. Sepatutnya, perkembangan
serta kemajuan bidang pendidikan, di samping membawa kemajuan ekonomi serta
pembangunan negara, akan melahirkan warganegara yang baik, bersepadu,
berdisiplin dan terlatih. Malangnya negara telah berjaya menghasilkan ramai
rakyat yang celik huruf tetapi beberapa aspek lain perlu diberi penekanan dan
penegasan semula supaya mereka juga celik budaya, celik akhlak, amanah dan memahami
tujuan hidup serta tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.
Dalam konteks pendidikan yang luas,
matlamat pendidikan bukan sahaja diorientasikan kepada masyarakat tetapi juga
dituju ke arah pembinaan tradisi keilmuan, mencari kebenaran, keadilan dan
kebersihan dalam masyarakat. Inilah nilai-nilai hidup yang harus dibina
menerusi pendidikan andainya kita benar-benar mahu membina manusia. Nyatalah
bahawa cabaran dan peranan pendidikan masa akan datang adalah ke arah
melahirkan manusia yang yakin dan patuh kepada agama, berilmu, berakhlak,
bertanggungjawab dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. Pelajar
yang telah melalui sistem tersebut seharusnya memberi sumbangan kepada
masyarakat dan negara. Pelajar yang telah melalui sistem tersebut seharusnya
mampu untuk memahami diri serta menghayati nilai-nilai dan matlamat hidup yang
sebenarnya.
Pendidikan yang mampu menghadapi
cabaran dan tuntutan ini seharusnya mempunyai paksi atau teras yang kukuh.
Satu-satunya paksi yang utuh dan mampu memenuhi keperluan tersebut ialah
Ketuhanan. Kepentingan menjadikan unsur Ketuhanan sebagai paksi dalam sistem
pendidikan negara adalah perlu kerana pendidikan yang menjauhkan diri daripada
unsur Ketuhanan akan memberi implikasi-implikasi yang berikut:
(a) Unsur-unsur nilai murni, jika tidak dinyatakan secara jelas dan sengaja
akan mengakibatkan ilmu pengetahuan yang diajar itu ketandusan nilai.
Sebaliknya, jika semua ilmu adalah ‘value-laden’, maka nilai-nilai yang tidak
berteraskan Ketuhanan akan memenuhi kekosongan tersebut. Akibatnya ilmu-ilmu
tersebut secara langsung atau tidak langsung memperkembang pula nilai-nilai ‘babas
dan nisbi’.
(b) Pendidikan yang sangat menekankan kepada bidang ‘kognitif’, perkembangan
akal dan fakulti rasional manusia akan menyebabkan unsur-unsur lain, seperti
unsur rohani, menjadi terbiar.
(c) Matlamat pendidikan hanya akan tertumpu kepada ‘utiliti’ dan faedah
kebendaan yang boleh dicapai sahaja. Atau pendidikan yang diberi hanyalah
sekadar kerana ilmu untuk ilmu.
(d) Ilmu yang disampaikan, justeru tidak memiliki teras dan nilai-nilai murni
boleh diserapkan dalam diri pelajar, maka ia tidak berjaya untuk menyampai
serta membawa kepada kebenaran.
(e) Para pelajar tidak dapat memperkembangkan watak dan sahsiah yang seimbang
serta mencapai kepada matlamat hidup yang sebenarnya.
Memandangkan kepada gejala-gelaja di atas, adalah amat wajar bagi kita
untuk melakukan perubahan di dalam sistem pendidikan agar pengubahsuaian serta
pemantapan dapat dilakukan demi untuk menyelamatkan agama, ummah dan negara.
IV Falsafah dan Matlamat
Pendidikan Kebangsaan
Dalam sistem Pendidikan Kebangsaan
yang diamalkan sekarang, falsafah pendidikan tidak dinyatakan secara tersurat.
Walau bagaimanapun, hasrat dan matlamat pendidikan negara telah dicerminkan
dalam Penyata Razak, Laporan Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan
Jawatankuasa Kabinet (1979). Dalam konteks pembangunan negara, sistem
Pendidikan Kebangsaan ini dikaitkan pula dengan prinsip-prinsip Rukunegara yang
turut menegaskan prinsip Kepercayaan Kepada
Tuhan.
Keperluan untuk menyatakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara tersurat
telah lama disedari. Oleh itu langkah untuk menggubalkan Falsafah Pendidikan
yang menjadi cermin cita-cita dan idealisma yang hendak diperjuangkan oleh
rakyat ini melalui proses pendidikan memang dinantikan. Maka dalam
menggubalnya, pertimbangan-pertimbangan yang teliti perlu dilakukan dengan
merujuk kepada perkara-perkara berikut:-
(a) Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1969;
(b) Akta Pelajaran 1961
(c) Laporan Jawatankuasa Mengkaji Semula Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan
1979;
(d) Rukunegara;
(e) Prinsip-prinsip Pendidikan dan
(f) Matlamat Pendidikan.
Selaras dengan hasrat dan cita-cita
ini Falsafah Pendidikan Kebangsaan dinyatakan seperti berikut:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke
arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan
insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Pernyataan falsafah ini menegaskan
bahawa sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan
kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. Ini bermakna Falsafah
Pendidikan Kebangsaan berhasrat untuk melahirkan insan yang berpegang teguh
kepada agama.
Berpandukan kepada Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, matlamat pendidikan iaitu ke arah melahirkan insan yang
baik dan sempurna. Insan yang baik ini akan sekaligus menjadi warganegara
Malaysia yang baik. Insan yang baik memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:
... Percaya
dan patuh pada Tuhan;
... berilmu
pengetahuan;
... berakhlak
mulia;
... bertanggungjawab
kepada diri, masyarakat, agama dan negara;
... berbakti
dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara; dan
... memiliki
sahsiah yang seimbang dan sepadu.
V Huraian Falsafah Pendidikan
Kebangsaan
Memperkembangkan Potensi Individu
Potensi ialah bakat dan kebolehan
yang ada pada seseorang individu yang dianugerahkan oleh Tuhan. Bakat-bakat dan
kebolehan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani dan emosi, dan jasmani yang
perlu dicungkil, diperkembang dan dipertingkatkan.
Menyeluruh dan Bersepadu
Kesemua unsur yang ada pada diri
manusia dikembangkan secara optima dan pengembangan itu dilakukan tidak secara
berasingan tetapi sentiasa dikaitkan di antara satu sama lain.
Insan yang Seimbang
Manusia yang baik, sempurna serta memiliki ciri-ciri berikut:
... kedamaian jiwa;
... sahsiah yang tidak bercanggah di antara
akal, rohani dan jasmani;
... boleh
menseimbangkan unsur-unsur akal, rohani dan emosi, dan jasmani secara serentak
selari dan sentiasa terikat kepada kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.
Unsur Intelek
Unsur intelek ini
mengambil kira aspek-aspek berikut:
... hikmat iaitu ilmu yang boleh membawa
kepada kebenaran;
... daya pemikiran yang logik, analitis,
kreatif dan inovatif;
… ilmu
yang bermanfaat.
Unsur Rohani dan
Emosi
Unsur-unsur rohani dan emosi
merangkumi aspek-aspek berikut:
… keyakinan kepada Tuhan;
… kepercayaan beragama;
… kemantapan jiwa;
… penghayatan nilai-nilai murni dan norma
masyarakat;
... berbudi pekerti mulia;
... berbakti dan berkorban.
Unsur Jasmani
Ciri-ciri
unsur jasmani ialah:
... kecergasan fizikal dan kesihatan diri;
... pemanfaatan anggota dan
tenaga fizikal untuk berdikari dan hidup bermasyarakat.
Kepercayaan dan Kepatuhan Kepada Tuhan
Usaha-usaha ke arah ini dapat
melahirkan individu yang yakin bahawa manusia dan alam tidak terjadi secara
tersendiri tetapi ada Penciptanya. Keyakinan ini pula menguatkan kepercayaan
bahawa hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan dan manusia dianjurkan
mengkaji fenomena alam. Manusia juga dituntut memikul amanah dan
bertanggungjawab kepada Tuhan dalam mentadbir dan memakmurkan alam.
Rakyat Malaysia Yang Berilmu Pengetahuan
Masyarakat Malaysia yang berilmu
pengetahuan seharusnya memilki sifat cinta dan sentiasa dahagakan ilmu, suka
membaca dan mengamalkan konsep pendidikan sepanjang hayat. Manusia yang
memiliki sifat-sifat ini akan menggunakan ilmu tersebut untuk manfaat diri dan orang
lain.
Rakyat Malaysia Yang
Berakhlak Mulia
Masyarakat Malaysia yang memiliki tingkahlaku dan budi pekerti baik yang
berdisiplin, mengamalkan prinsip-prinsip perpaduan, kesopanan dan kesusilaan
yang didorongkan dari dalam diri. Proses pembentukan akhlak ini mestilah
berteraskan ilmu, keyakinan dan amalan.
Rakyat Malaysia Yang
Bertanggungjawab
Masyarakat Malaysia yang beramanah terhadap
Tuhan, negara, masyarakat dan diri. Masyarakat ini adalah masyarakat yang
produktif, bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dengan cekap, berkualiti
tanpa pembaziran.
Rakyat Malaysia Yang
Memberikan Sumbangan
Masyarakat Malaysia yang terlatih dalam
pelbagai kemahiran bagi melahirkan tenaga manusia yang produkrif, berinisiatif dan
berinovatif untuk mentadbirkan sumber alam. Masyarakat ini mampu menggunakan
teknologi yang cekap bagi mempertingkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan
negara.
Keharmonian dan Kemakmuran Masyarakat dan Negara
Masyarakat Malaysia yang rela
berbakti serta berkorban ke arah mewujudkan perpaduan kaum dengan mengamalkan
sikap toleransi, bekerjasama dan hormat-menghormati. Sikap ini membantu ke arah
pembentukan satu bangsa Malaysia yang maju dan makmur.
Dalam kata lain, pendidikan yang
disampaikan hendaklah dapat membina serta menghidupkan kesedaran tentang
Ketuhanan dan kesediaan untuk mematuhinya. Pendidikan yang dirancangkan
berhasrat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memenuhi keperluan semasa
serta mampu menghadapi cabaran masa depan.
Post a Comment