I Pendahuluan
Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) digubal berdasarkan Falsafah Pendidikan
Negara. Matlamat KBSM adalah selaras dengan matlamat pendidikan negara ke arah
menghasilkan insan yang seimbang berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan.
Dalam
rancangan KBSM, pendidikan bersepadu merupakan satu strategi penting bagi
menjalin dan mengadunkan unsur-unsur ilmu dan kemahiran; bahasa; dan
nilai-nilai dalam semua mata pelajaran.
II Latar Belakang
Dari segi konsep, pendidikan bersepadu
ditakrifkan *sebagai proses pembentukan pelajar dari segi penguasaan ilmu
pengetahuan, pemupukan nilai-nilai murni dan perkembangan jasmani yang
dilakukan secara menyeluruh ke arah mewujudkan insan yang baik.Proses ini
berlaku serentak, selaras dan sentiasa terikat kepada kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan.
III Pendekatan
Dari segi pendekatan, untuk
menjayakan matlamat pendidikan serta kurikulum bersepadu, perkara-perkara yang
ditegaskan ialah:
(a) Aspek Ilmu dan Kemahiran
... mengekalkan
disiplin pendidikan yang ada. Walau bagaimanapun setiap disiplin dirujuk dan
diselaraskan dengan falsafah dan matlamat Pendidikan Negara. Falsafah dan matlamat ini diterjemahkan ke dalam objektif mata-mata pelajaran;
... kandungan
kurikulum hendaklah mempunyai perkaitan di antara diri dengan manusia, alam dan
Tuhan;
... kemahiran-kemahiran
asas 3M yang telah dikuasai pada peringkat KBSR diperkukuhkan dan
diperkembangkan lagi. Usaha-usaha ini juga meliputi aspek kemahiran
belajar, kemahiran sosial dan kemahiran psikomotor yang telah dimulakan di
peringkat KBSR.
(b) Aspek Nilai
... unsur
nilai merupakan komponen bersepadu yang penting dan dilaksanakan merentasi
kurikulum selain daripada yang diajar di dalam Pendidikan Islam / Pendidikan
Moral;
... penerapan
nilai-nilai murni dilakukan secara sedar dan sengaja. Nilai-nilai murni yang
ditegaskan meliputi kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan (Lampiran 1).
(c) Aspek Bahasa
... dalam
rancangan KBSM, unsur bahasa bersepadu dengan unsur nilai. Bahasa Malaysia
dipertingkatkan penggunaan dan penguasaan untuk menghayati hasratnya sebagai
bahasa ilmu, bahasa perhubungan dan bahasa pencerminan akal budi rakyat;
... sebagai
bahasa ilmu, Bahasa Malaysia dikukuhkan kedudukannya kerana peranannya
merentasi bidang ilmu/kurikulum. Keperluan untuk pelajar-pelajar meningkatkan
penguasaan dalam Bahasa Malaysia bertambah, dari segi bahasa ilmu
pelajar-pelajar KBSM seharusnya mempunyai penguasaan berbahasa dan ketepatan
berkomunikasi, di samping fasih dan lancar
dalam pertuturan, cekap, kritis dan analitis dalam pembacaan serta
kreatif dan produktif dalam menghasilkan penulisan. Pelajar-pelajar KBSM akan
dipupuk dengan kepekaan terhadap sistem Bahasa Malaysia dan gaya bahasa yang
indah kesedaran terhadap Bahasa Malaysia dalam pelbagai situasi serta pemahaman
unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh;
... penggunaan
bahasa-bahasa lain sebagai sumber pembinaan tamadun ilmu digalakkan.
Di samping tiga aspek penting yang dinyatakan di atas, bahan-bahan
pengajaran dan pembelajaran khasnya buku teks mesti menggarap dan mencerminkan
hasrat Falsafah dan memperlihatkan kesepaduan. Dengan cara itu guru-guru dan murid-murid
dapat panduan dan contoh.
IV Operasi
Pendidikan Bersepadu dalam KBSM
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) diasaskan kepada konsep
Pendidikan Bersepadu. Rancangan pendidikan ini bertujuan mempertingkatkan lagi
perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani ke arah melahirkan insan yang berilmu, berakhlak
mulia dan berbudi serta sanggup berbakti kepada masyarakat dan negara.
Kesepaduan ini mempunyai hubungkait dan pertalian yang rapat di antara falsafah
dan matlamat pendidikan dengan matlamat KBSM dan objektif sukatan pelajaran.
Pertalian ini juga mengambil kira bidang kognitif, afektif dan psikomotor
melalui isi kandungan yang terdapat dalam mata-mata pelajaran teras dan pilihan
/ tambahan. Operasi Pendidikan Bersepadu dalam KBSM telah dijelaskan
berpandukan model-model berikut:
V Kesimpulan
Penggubalan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah dilakukan di atas kesedaran bahawa kita mesti mempunyai hala
tuju yang benar dan tepat di dalam pendidikan kita. Kita mesti memiliki
falsafah yang mengandungi hasrat, harapan dan idealisma yang hendak kita
perjuangkan. Perubahan yang dilakukan di dalam kurikulum menuntut perubahan di
dalam sikap, semangat, pendekatan dan budaya kerja para pendidik. Semua pihak
sebenarnya harus disedarkan serta dididik untuk memahami dan menghayati
Falsafah Pendidikan Negara.
Pusat
Perkembangan Kurikulum,
Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Januari 1988
manfaat.tq
ReplyDelete